Dalam usaha mempelajari tentang masalah dan tingkah laku manusia, atau
membuat kajian tentang psikologi, kita mesti berlandaskan kepada empat
matlamat utama iaitu:
Menggambarkan (Describe)
Matlamat psikologi yang pertama ialah memerhatikan tingkah laku dan
membuat gambaran. Melalui cara ini, ahli psikologi cuba untuk memahami
sesuatu tingkah laku yang diperhatikan dan mendapatkan perspektif yang
lebih baik tentang apa yang dikatakan sebagai normal dan abnormal.
Antara tingkah laku yang sering diperhatikan ialah pemikiran, perasaan,
sikap, matlamat, motivasi, tindakan, dan tindak balas manusia. Ahli
psikologi menerangkan tingkah laku manusia melalui kaedah seperti kajian
kes, pemerhatian, eksperimen, tinjauan, penilaian, dan kaedah korelasi.
Menjelaskan (Explain)
Setelah memerhatikan tingkah laku dan membuat gambaran, ahli psikologi
perlu melihat apa yang ketara dan menerangkan apa yang diperhatikan itu.
Antaranya ialah :- Kenapa seseorang itu menunjukkan tingkah laku
sedemikian? Apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada perkembangan,
personaliti, tingkah laku sosial, dan masalah kesihatan mental? Melalui
sejarah perkembangan psikologi, terdapat pelbagai jenis teori berbeza
yang muncul untuk menerangkan beberapa aspek tentang tingkah laku
manusia. Antaranya ialah pelaziman klasik dan teori kelekatan
(attachment).
Meramal (Predict)
Selain itu ialah membuat ramalan tentang bagaimana manusia berfikir dan
bertindak. Apabila kita memahami apa yang berlaku dan kenapa ia berlaku,
kita boleh menggunakan maklumat tersebut untuk membuat ramalan (bila,
kenapa, dan bagaimana) tentang kemungkinan yang akan berlaku pada masa
akan datang.
Kejayaan meramal sesuatu tingkah laku merupakan salah satu cara terbaik
untuk mengetahui sejauh mana kita memahami asas atau apa yang mendasari
tingkah laku kita atau individu lain. Contohnya sekiranya seseorang itu
hidup dalam keluarga yang tidak bahagia, kurang kasih sayang atau selalu
didera, kita dapat meramal apa yang akan berlaku pada masa akan datang.
Walaupun ramalan bukanlah bukti yang kukuh, tetapi ia boleh memberi
panduan kepada seseorang dalam membuat keputusan tentang masa depannya.
Mengawal (Control)
Apabila kita memahami apa yang berlaku, kenapa ia berlaku, dan apa yang
akan berlaku pada masa akan datang, maka kita boleh mengawalnya. Melalui
cara ini kita boleh mempengaruhi tingkah laku manusia dengan mengawal
punca-puncanya. Contohnya, sekiranya kita mendapati seseorang pekerja
yang bermasalah di tempat kerja (ponteng, datang lambat, malas, dan
sebagainya), dan akan mengakibatkan dia dibuang kerja. Kita seharusnya
mengawal perkara tersebut daripada berlaku dengan mengambil beberapa
langkah yang bersesuaian. Contohnya, berbincang dengan pekerja tersebut
tentang masalahnya, menjalani sesi kaunseling, dan sebagainya.
Contoh lain ialah jika seseorang kanak-kanak itu dibesarkan dalam
keluarga yang tidak bahagia, pecah belah, kurang kasih, dan sebagainya.
Dia cenderung untuk mempunyai tingkah laku agresif atau negatif pada
usia remaja. Kita boleh mengawal tingkah laku tersebut dengan mengambil
langkah pencegahan awal seperti sesi kaunseling, dan sebagainya.
Mengawal adalah aspek penting jika matlamat psikologi ingin dicapai.
Jika ramalan telah diketahui, maka adalah menjadi kewajipan manusia
untuk mengawal tingkah laku yang akan terbentuk agar kekal menjadi
tingkah laku yang sesuai.
No comments:
Post a Comment