Apa itu Psikologi?

Salah satu soalan yang paling biasa ditanya oleh para pelajar yang masih baru dengan bidang psikologi ialah "Apakah psikologi?" Wujud salah faham yang dicipta oleh media, orang ramai serta pelbagai laluan kerjaya bagi mereka yang memegang ijazah atau kelayakan dalam bidang psikologi turut menyumbang kepada kekeliruan ini.

Psikologi merupakan bidang akademik dan gunaan yang mengkaji tentang tingkah laku dan minda manusia. Penyelidikan dalam bidang psikologi bertujuan untuk memahami dan menerangkan tentang pemikiran, tindakan, perasaan manusia, dan sebagainya. Aplikasi dalam bidang psikologi merangkumi rawatan kesihatan mental, peningkatan prestasi, bantuan kendiri, ergonomik, dan pelbagai lagi bidang lain yang mempengaruhi kesihatan dan kehidupan seharian.

Psikologi berkembang daripada bidang falsafah dan biologi. Perbincangan tentang kedua-dua bidang ini wujud sejak zaman pemikir awal Yunani (Greek) lagi termasuk Aristotle dan Socrates. Perkataan psikologi berasal daripada gabungan dua perkataan Yunani (Greek) iaitu Psyche (Psiko) yang bermaksud jiwa, rohani atau mental, dan -logos (-logi) yang bermaksud kajian. Jadi psikologi bermakna kajian jiwa, mental atau rohani manusia.

Daripada makna perkataan ini sahaja, beberapa definisi telah disarankan oleh pakar-pakar psikologi dari seluruh dunia. Mengikut pergerakan sejarah serta perkembangan psikologi, William James (1890) mendefinisikan psikologi sebagai sains kehidupan mental. Beliau menekankan kepentingan unsur-unsur subjektif atau kemanusiaan yang tidak dapat didaftarkan oleh sistem deria manusia. John Watson (1919) pula menyarankan supaya definisi psikologi dikaji semula bagi membolehkannya dilihat dari segi tingkah laku yang berunsur objektif, iaitu yang boleh didaftarkan oleh sistem deria manusia. Daripada dua pandangan tersebut, psikologi moden boleh kita definisikan sebagai satu kajian saintifik tentang jiwa dan tingkah laku manusia.

Daripada definisi tersebut, kita boleh membahagikan psikologi kepada beberapa bahagian. Pertama, psikologi sebagai satu kajian yang saintifik. Maksudnya kajian-kajian yang dilakukan dalam disiplin psikologi menggunakan kaedah-kaedah penyelidikan yang saintifik seperti eksperimen, tinjauan, korelasi, pemerhatian, kajian kes, dan lain-lain. Semua metodologi tersebut mempunyai ciri-ciri tertentu dan menggunakan prosedur-prosedur yang spesifik.

Kedua, psikologi mengkaji tingkah laku manusia. Tingkah laku manusia ialah perbuatan yang boleh kita lihat. Dalam erti kata lain, semua tingkah laku ini dalam bentuk terbuka (overt behavior) seperti berjalan, makan, memandu, memukul, dan sebagainya.

Ketiga ialah pakar-pakar psikologi juga menjalankan kajian ke atas proses mental manusia, yang dikenali sebagai tingkah laku terselindung (covert behavior). Maksudnya tingkah laku yang tidak dapat kita lihat seperti bayangan, perasaan, mimpi, fantasi, khayalan, dan sebagainya.

Secara keseluruhan, psikologi mengkaji semua jenis tingkah laku manusia. Kadangkala kajian-kajian ke atas binatang juga dilakukan, seperti melihat kesan dadah ke atas tingkah laku seekor tikus. Kajian ini perlu kerana ia tidak boleh dilakukan ke atas manusia. Walau bagaimanapun, semua kajian tersebut mempunyai darjah signifikan yang tinggi ke atas penggunaannya untuk manusia sama ada secara langsung atau pun tidak. Tugas manusia pula ialah untuk memahami sedikit sebanyak tentang dirinya sendiri, mengetahui jenis-jenis proses, dan perasaan-perasaan yang dialami serta menghayatinya secara menyeluruh.

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. www.xyabie.blogspot.com :) :D

    ReplyDelete
  3. aku sedih baru tau kata member aku di psikolgi

    ReplyDelete