TRAGEDI pembunuhan empat
sekeluarga di Gemencheh, Negeri Sembilan baru-baru ini menyentuh hati
rakyat Malaysia. Bagi kita yang mengikuti perkembangan tragedi hitam itu
tentu sukar untuk menggambarkan bagaimana seksanya mangsa melalui
detik-detik terakhir sebelum ajalnya.
Lebih menyedihkan, suspek dalam kes ini adalah ahli keluarga terdekat. Tentu terlintas di fikiran bagaimana ahli keluarga tergamak bertindak sedemikian bukan terhadap seorang tetapi empat mangsa. Pelbagai andaian dibuat antaranya suspek mengalami gangguan mental dan ada juga yang mengaitkannya dengan ilmu hitam.
Bukan ingin mencurah air
garam ke hati keluarga mangsa yang masih diselubungi kesedihan, yang
pasti kes ini masih dalam siasatan polis. Biarlah pihak berkuasa yang
menentukan keputusannya.
Kesihatan minggu ini
sekadar ingin merungkai permasalahan gangguan mental dan juga berkongsi
maklumat mengenai beberapa kejadian seumpama yang pernah berlaku sebelum
ini.
Peristiwa empat
sekeluarga itu bukan yang pertama berlaku. Sebelum ini terdapat pelbagai
tragedi seumpama yang melibatkan nyawa disebabkan masalah berkaitan
gangguan psikologi.
Fenomena semasa
Pakar Psikologi dari
Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari
berkata, jika melihat kepada laporan Kajian Kesihatan Kebangsaan dan
Morbiditi Ketiga pada 2006, 11 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah
mental.
“Ini bermakna kira-kira
2.6 juta daripada keseluruhan penduduk mengalami gangguan berkaitan
psikologi dan jumlah ini agak ketara,” katanya yang juga merupakan
Pensyarah Kanan Universiti Malaya dalam bidang ini.
Menurut beliau, jika
kini penyakit berkaitan gangguan mental (termasuk disebabkan pengambilan
dadah) berada di tangga ke 10 dalam senarai penyakit membebankan,
dianggarkan menjelang 2020, masalah ini akan menduduki tangga kedua
iaitu selepas penyakit jantung.
“Ini berdasarkan
perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyasarkan masalah
mental akan mewakili 15 peratus daripada penyakit global pada tahun
tersebut,” katanya.
Jelas beliau, gangguan mental juga boleh dikaitkan dengan kesan sampingan kemajuan yang dicapai sesebuah negara. Katanya,
sesetengah individu gagal menyesuaikan diri dengan kemajuan, ditambah
pula dengan punca-punca lain menyebabkan mereka mudah mengalami gangguan
mental.
Di Malaysia, ia kini
menjadi penyakit lazim dan statistik 2008 menunjukkan kira-kira 400,227
pesakit mental mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital
kerajaan. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus
berbanding 346,196 pesakit pada 2007.
Di PPUM sahaja kata
beliau, berbanding sepuluh tahun lalu yang mencatatkan satu atau dua
pesakit setiap hari bertemu pakar psikiatri kini bertambah menjadi tujuh
hingga lapan pesakit sehari.
Dr. Muhsin berkata dari segi kepakaran pula kita masih lagi ketinggalan iaitu dengan hanya sekitar 200 pakar psikiatri. “Kekurangan
kepakaran sangat ketara kerana kebanyakan bertumpu di sekitar Lembah
Klang sahaja. Menakala kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak hanya
mempunyai satu atau dua psikiatri sahaja,” katanya.
Punca
Menurut Dr Muhsin,
terdapat dua sebab utama menyumbang kepada masalah kesihatan mental
iaitu sejarah keluarga (dalaman) dan persekitaran. “Pelbagai
sebab seperti stres, tekanan kerja, hubungan sosial, personaliti
introvert iaitu seorang yang cepat putus asa, tak suka bergaul dan
sebagainya mudah terdedah kepada masalah mental,” kata beliau.
Menurutnya, masalah
mental ada yang serius dan ada yang minor. Bergantung kesedaran awal
pesakit dan sejauh mana dia berusaha untuk menanganinya, ia boleh
membantu.
Jika mereka mendapatkan
nasihat daripada profesional, peratusan untuk pulih adalah tinggi
tetapi. Sebaliknya jika mendapatkan nasihat daripada rakan atau saudara
berkemungkinan untuk menjadi lebih parah. Begitu juga seandainya pesakit
dibiarkan tanpa sebarang rawatan, masalah akan menjadi bertambah rumit.
Selain itu katanya, masalah gangguan mental 15 kali berisiko tinggi andai pesakit terlibat dengan pengambilan dadah.
Pelakuan di luar kawalan
Merujuk kepada peratusan
WHO Dr Muhsin berkata, sebanyak 14 peratus kematian di kalangan remaja
berusia 15 hingga 24 tahun di seluruh dunia adalah disebabkan oleh
keganasan seperti amuk, rompakan dan kecurian yang mendorong kepada
bunuh, pergaduhan, buli dan sebagainya.
Kes-kes seperti ini ada
kaitan dengan gangguan mental, yang mana pembunuh akan melakukan sesuatu
diluar jangkaan seperti kes yang berlaku di Gemencheh.
“Bagi orang yang waras
fikiran dan memang berniat untuk membunuh, mustahil dia akan
meninggalkan bukti malah tidak akan mengaku bersalah jika ditangkap
polis,” kata Dr. Muhsin.
Dalam kebanyakan kes
seperti ini kata beliau, mangsa biasanya adalah orang yang paling rapat
sekali dengan pembunuh seperti ayah, ibu, anak, suami, isteri dan
adik-beradik terdekat.
Bagaimana untuk mengesan?
Penyelesaian
Dr. Muhsin menasihatkan
mereka yang mempunyai simptom gangguan mental agar mendapatkan rawatan
awal supaya masalah tidak berlanjutan.
“Kebanyakan pesakit di
Malaysia bertemu pakar selepas 24 bulan mengalami masalah. Berbanding di
Amerika Syarikat, jika mereka tidak boleh tidur dalam masa tiga hari
sahaja mereka terus bertemu doktor untuk mendapatkan nasihat,” katanya.
Beliau berkata, persepsi
masyarakat mengenai gangguan mental perlu diubah. Selama ini, orang
mengaitkan pesakit mental sebagai ‘orang gila’ dan mereka disisihkan
keluarga.
“Sepatutnya orang
terdekat dengan pesakit perlu memberi sokongan dan membawa pesakit
mendapatkan rawatan agar ia tidak berlanjutan,” katanya.
Selain itu katanya,
rawatan yang ada di negara ini masih lagi mengikut akta lama iaitu
mengurung pesakit atau menempatkan pesakit di suatu tempat tertentu
misalnya hospital sakit jiwa. Jelas beliau, keadaan ini akan menyebabkan pesakit lebih tenat kerana merasa diri mereka disisihkan dan terkongkong.
“Saya percaya jika
pesakit dapat bergaul dengan masyarakat dan meneruskan kerja mereka
seperti biasa, mereka lebih cepat sembuh kerana merasa diri disayangi
serta boleh melakukan perkara seperti orang lain,” katanya.
Di PPUM sendiri menurut
beliau, pesakit mental yang sedang menjalani rawatan dibenarkan
mengendalikan kafe di bawah pengawasan doktor.
Dalam pada menjalani
rawatan Dr. Muhsin menekankan pesakit perlu mengambil ubat seperti
antipsikotik dan antidepression yang telah diberi doktor untuk membantu
penyembuhan.
“Orang kita kadang kala
lebih percayakan bomoh dalam hal ini. Nasihat saya, kalau ingin bertemu
bomoh sekali pun tak mengapa, asalkan jangan lupa mengambil ubat yang
telah diberikan doktor,” katanya.
Sumber : Utusan Online _ 17 Januari 2010
No comments:
Post a Comment