MUDAH sahaja Maria Idris
memenuhi segala permintaan seorang lelaki yang mendakwa dirinya peguam
bertauliah, asalkan suaminya dapat dikeluarkan dari penjara. ‘Peguam’
itu mengambil kesempatan terhadap Maria yang tidak mampu membayar wang
ikat jamin seperti yang diputuskan mahkamah.
Maria kemudian bertindak
menjual barang kemasnya dan membuat pembayaran melalui akaun bank
suspek yang mendakwa boleh membebaskan suaminya dengan jaminan diskaun
sebanyak RM10,000.
Selepas seminggu, Maria
diminta menambah RM5,000 tetapi dia mula berasa curiga dan akhirnya
membuat laporan laporan polis. Rentetan daripada laporan tersebut,
‘peguam’ itu ditahan bersama beberapa dokumen palsu. Insiden pahit
ditemberang peguam palsu beberapa bulan lalu menyebabkan Maria trauma
sehingga kesan itu berbekas di mindanya.
Kes terpedaya akibat
aktiviti penyamaran di Malaysia bukan baru malah saban hari, banyak
laporan mengenai jenayah licik ini dilaporkan kepada pihak
berkuasa. Mereka menyamar menjadi polis, kerabat diraja, jutawan, artis
malah ada yang berpura-pura menjadi wartawan dalam menjalankan misi
masing-masing.
Pensyarah psikologi
forensik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia
(USM), Dr. Affizal Ahmad menganggap kes menyamar sebagai sesuatu yang
biasa.
“Tiada istilah khusus
dalam bidang kriminologi bagi menterjemahkan aktiviti penyamaran. Namun,
dari segi psikologi, individu yang terlibat dalam kes menyamar
seringkali membabitkan (masalah) personaliti,” katanya kepada Jurnal.
Profil penyamar
Sikap yang diumpamakan
seperti sumpah-sumpah itu membuatkan penyamar lebih senang
mengadaptasikan tabiat mereka mengikut situasi, peluang dan
persekitaran. “Dalam erti kata lain, tingkah laku mereka ketika menyamar
adalah untuk menutup kelemahan diri sendiri,” jelas Affizal.
Kecelaruan identiti atau
personaliti berganda turut dikaitkan dengan tabiat suka
menyamar. Bermula daripada zaman kanak-kanak, perilaku seperti
sumpah-sumpah itu adalah hasil daripada pengadaptasian kepada penderaan
yang mungkin pernah dialami oleh penyamar. “Di sinilah wujudnya satu
personaliti lain yang akan mendominasi personaliti sebenar penyamar.
Objektif kewujudan personaliti alternatif ini adalah untuk mendapatkan
perhatian,” katanya.
Kes seperti Muhammad Zul
Ariff Abdullah yang menyamar sebagai ‘Tuan Muda’, kononnya anak angkat
Tengku Mahkota Pahang mungkin bertujuan untuk mendapat perhatian dan
status dalam masyarakat, kata Affizal.
Dalam pada itu, Affizal
menegaskan, terdapat profil tertentu bagi kes-kes menyamar. “Dalam
personaliti alternatif ini, penyamar akan menjadi seorang yang
berkeyakinan tinggi untuk mempengaruhi serta meyakinkan
mangsanya. “Walaupun tidak semua penyamaran itu dikategorikan sebagai
jenayah, namun kemampuan mereka untuk mengawal mangsa perlu diambil
perhatian,” tegas Affizal.
Dalam sesetengah kes,
kegiatan menyamar tersebut boleh menyebabkan ketagihan dan suspek
memerlukan bantuan kaunseling, kata beliau. Penyamar sering menjadikan
orang kaya dan berlainan jantina sebagai sasaran. “Ada juga yang
menyasarkan kumpulan status tertentu seperti kerabat diraja, institusi
atau kumpulan tertentu,” katanya lagi.
Di samping itu, Affizal
menjelaskan bahawa menyamar mungkin berada antara jenayah kolar putih
dan biru kerana ia bergantung kepada kecenderungan jenayah serta
karakter penyamar tersebut.
Motif tertentu
Mengupas lanjut isu
penyamaran, Pakar Sosiologi Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Azlan Mohd. Noor berkata, penyamar pun
perlu ada ilmu dan kemahiran untuk menjadikan lakonannya berjaya.
Antara faktor penting
yang perlu ada bagi menjadikan penyamaran berjaya ialah proses
sosialisasi, katanya. “Sebagai contoh, seseorang itu tidak akan berjaya
menyamar sebagai polis, kerabat diraja atau pegawai agama sekiranya dia
tidak mempunyai latar belakang atau pernah hidup dalam lingkungan sosial
tersebut.
“Ini amat penting kerana
menerusi latar belakang tersebut, penggunaan perkataan, tingkah laku
atau perkataan tertentu dapat digunakan dengan baik dan sekali gus,
mampu memperdayakan sesiapa sahaja,” jelas Azlan.
Berkongsi pengalaman
ketika membuat kajian di sebuah pusat pemulihan akhlak, Azlan
mendedahkan, antara ruangan yang paling gemar dibaca oleh pesalah juvana
ialah mahkamah dan jenayah.
“Mereka belajar mengenai
hukuman dan kesan jenayah. Malah pendedahan terhadap dunia luar
terutama jenayah, mudah saja didapati menerusi Internet,”
katanya. Tegasnya, tidak mustahil aktiviti menyamar mampu dilakukan
dengan baik walaupun pada usia muda kerana medium belajar kemahiran
tersebut ada di mana-mana.
Sumber: Kosmo
No comments:
Post a Comment