MAKNA umum psikologi adalah sikap dan proses
mental yang berlaku dalam diri seseorang manusia. Sikap adalah perlakuan
seseorang yang boleh dilihat oleh orang lain. Sementara proses mental
adalah proses dalaman seperti kepercayaan, pemikiran, perasaan dan
persepsi terlindung dari pandangan zahir.
Tetapi kajian psikologi kini hanya menggunakan pendekatan sekular
Barat sekalipun telah lahir banyak psikologis kalangan Islam. Walaupun
pendekatan sekular Barat telah dominan dan diterimapakai sejak lama
dulu, kajian daripada sudut pandangan Islam telah terbukti melampaui
Barat.
Ini ditandai dengan lahirnya buku Psychology From The Islamic Perspective
yang ditulis oleh sarjana Islam, Dr. Aisha Utz, profesor psikologi
klinikal, Universiti Sains Kesihatan King Saud bin Abdul Aziz, Arab
Saudi. Edisi pertama dalam bahasa Arab dan kemudian diterjemah dalam
versi bahasa Inggeris yang menyebarluaskan lagi kajian psikologi dari
sudut pandangan Islam.
Pengarang berjaya memberikan huraian yang jelas secara saintifik dan
juga merujuk kepada keajaiban-keajaiban yang diterangkan dalam al Quran
berkaitan dengan alam jiwa setiap manusia.
Buku ini satu titik mula penting memperkenalkan satu kaedah baru
psikologi dengan mengambil kira perkara-perkara yang bersifat metafizik
dalam Islam. Ia menekankan antaranya hakikat kewujudan manusia terutama
roh daripada sudut pandangan Islam yang tidak ada dalam definisi
psikologi Barat.
Pengarang membentangkan perbandingan antara Barat dan Islam serta
perbezaan antara kedua-duanya. Pengarang tidak menolak terus sudut
pandangan Barat terhadap psikologi. Tetapi pada masa yang sama
menekankan banyak kelompang dalam sudut pandangan Barat apabila
mengabaikan hakikat kewujudan manusia dan roh mengikut konsep Islam.
Pengarang menghurai dan menghubungkait beberapa konsep dalam Islam
yang mempunyai hubungan daripada sudut psikologi. Misalnya konsep
fitrah, akidah, iman yang semuanya tidak wujud dalam psikologi moden
Barat.
Buku psikologi yang mempunyai 18 bab ini memberikan
hujahan secara terperinci mengenai psikologi daripada sudut pandangan
Islam dengan mengambil kira konsep yang menjadi pegangan Islam. Tambahan
pula beberapa tahun kebelakangan ini sudah terdapat ahli falsafah dan
saintis Barat yang mengakui bahawa teori saintifik mereka tentang
kejadian manusia adalah terhad. Mereka mengakui tidak mampu menghuraikan
kompleksiti dan misteri kehidupan manusia yang tersembunyi dengan teori
Barat.
Ini sebenarnya kelompang yang dimaksudkan pengarang terhadap
pendekatan psikologi sekular Barat. Maka pendekatan psikologi Islam
diperlukan untuk merungkai misteri dan kompleksiti yang tidak boleh
dilakukan dengan pendekatan Barat. Buku seperti Psychology From The Islamic Perspective
ini sebenarnya telah lama dinanti-nantikan kalangan psikologis Islam
yang melihat banyak misteri tidak boleh dirungkaikan dengan pendekatan
Barat.
Misalnya menerusi bab 13 pengarang menghuraikan konsep kewujudan
syaitan, jin, dan manusia dalam Islam. Kepada psikologis bukan Islam
tentunya ini satu pendekatan baru yang mempunyai hubungan dengan
psikologi. Kewujudan syaitan dan jin daripada sudut pandangan Islam
bukanlah satu proses mental pada definisi sudut pandangan Barat. Bab ini
banyak menghuraikan bagaimana jin dan syaitan yang jahat sentiasa berusaha
mempengaruhi manusia keluar dari landasan yang ditentukan oleh Islam.
Semua ini tidak ada dalam psikologi pendekatan Barat.
Sementara bab 14 pula menghuraikan psikologi abnormal dan sakit
mental. Pengarang memberi fokus kepada dua kelompok besar sakit mental
iaitu rasa bimbang dan kesedihan melampau. Menurut pengarang, daripada
sudut pandangan Islam perkara ini berlaku disebabkan oleh lemah semangat
terhadap pengalaman pahit yang pernah dilalui. Pengarang menekankan
semangat menjadi faktor utama berlakunya keadaan ini tanpa menafikan
faktor-faktor lain yang juga turut mempengaruhi seseorang.
Menerusi buku ini ternyata banyak ilmu dalam al Quran yang belum
diterokai oleh manusia untuk kebaikan manusia lain. Dalam bidang
psikologi misalnya, sejak sekian lama dulu pendekatan Barat yang menjadi
rujukan padahal dalam Islam sudah ada kunci yang boleh merungkaikan
keajaiban misteri yang tidak ditemui oleh Barat. Dengan lahirnya
buku ini, sarjana sekaligus psikologis Islam telah mengemukakan
pendekatan yang sewajarnya dilangsungkan oleh sarjana Islam lain untuk
memantapkan lagi ilmu psikologi daripada sudut pandangan Islam.
Ini juga sebagai bukti bahawa sejak dulu lagi Islam merintis ilmu
dalam bidang sains dan matematik yang kemudiannya diteruskan oleh Barat.
Usaha pengarang membuktikan pendekatan dan konsep dalam Islam mampu
mengatasi lingkungan pencapaian saintifik Barat yang sangat terhad itu.
No comments:
Post a Comment