Manusia Sumpah-sumpah

MUDAH sahaja Maria Idris memenuhi segala permintaan seorang lelaki yang mendakwa dirinya peguam bertauliah, asalkan suaminya dapat dikeluarkan dari penjara. ‘Peguam’ itu mengambil kesempatan terhadap Maria yang tidak mampu membayar wang ikat jamin seperti yang diputuskan mahkamah.
Maria kemudian bertindak menjual barang kemasnya dan membuat pembayaran melalui akaun bank suspek yang mendakwa boleh membebaskan suaminya dengan jaminan diskaun sebanyak RM10,000.
Selepas seminggu, Maria diminta menambah RM5,000 tetapi dia mula berasa curiga dan akhirnya membuat laporan laporan polis. Rentetan daripada laporan tersebut, ‘peguam’ itu ditahan bersama beberapa dokumen palsu. Insiden pahit ditemberang peguam palsu beberapa bulan lalu menyebabkan Maria trauma sehingga kesan itu berbekas di mindanya.
Kes terpedaya akibat aktiviti penyamaran di Malaysia bukan baru malah saban hari, banyak laporan mengenai jenayah licik ini dilaporkan kepada pihak berkuasa. Mereka menyamar menjadi polis, kerabat diraja, jutawan, artis malah ada yang berpura-pura menjadi wartawan dalam menjalankan misi masing-masing.
Pensyarah psikologi forensik di Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Affizal Ahmad menganggap kes menyamar sebagai sesuatu yang biasa.
“Tiada istilah khusus dalam bidang kriminologi bagi menterjemahkan aktiviti penyamaran. Namun, dari segi psikologi, individu yang terlibat dalam kes menyamar seringkali membabitkan (masalah) personaliti,” katanya kepada Jurnal.

Profil penyamar
Sikap yang diumpamakan seperti sumpah-sumpah itu membuatkan penyamar lebih senang mengadaptasikan tabiat mereka mengikut situasi, peluang dan persekitaran. “Dalam erti kata lain, tingkah laku mereka ketika menyamar adalah untuk menutup kelemahan diri sendiri,” jelas Affizal.
Kecelaruan identiti atau personaliti berganda turut dikaitkan dengan tabiat suka menyamar. Bermula daripada zaman kanak-kanak, perilaku seperti sumpah-sumpah itu adalah hasil daripada pengadaptasian kepada penderaan yang mungkin pernah dialami oleh penyamar. “Di sinilah wujudnya satu personaliti lain yang akan mendominasi personaliti sebenar penyamar. Objektif kewujudan personaliti alternatif ini adalah untuk mendapatkan perhatian,” katanya.
Kes seperti Muhammad Zul Ariff Abdullah yang menyamar sebagai ‘Tuan Muda’, kononnya anak angkat Tengku Mahkota Pahang mungkin bertujuan untuk mendapat perhatian dan status dalam masyarakat, kata Affizal.
Dalam pada itu, Affizal menegaskan, terdapat profil tertentu bagi kes-kes menyamar. “Dalam personaliti alternatif ini, penyamar akan menjadi seorang yang berkeyakinan tinggi untuk mempengaruhi serta meyakinkan mangsanya. “Walaupun tidak semua penyamaran itu dikategorikan sebagai jenayah, namun kemampuan mereka untuk mengawal mangsa perlu diambil perhatian,” tegas Affizal.
Dalam sesetengah kes, kegiatan menyamar tersebut boleh menyebabkan ketagihan dan suspek memerlukan bantuan kaunseling, kata beliau. Penyamar sering menjadikan orang kaya dan berlainan jantina sebagai sasaran. “Ada juga yang menyasarkan kumpulan status tertentu seperti kerabat diraja, institusi atau kumpulan tertentu,” katanya lagi.
Di samping itu, Affizal menjelaskan bahawa menyamar mungkin berada antara jenayah kolar putih dan biru kerana ia bergantung kepada kecenderungan jenayah serta karakter penyamar tersebut.
Motif tertentu
Mengupas lanjut isu penyamaran, Pakar Sosiologi Perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Azlan Mohd. Noor berkata, penyamar pun perlu ada ilmu dan kemahiran untuk menjadikan lakonannya berjaya.
Antara faktor penting yang perlu ada bagi menjadikan penyamaran berjaya ialah proses sosialisasi, katanya. “Sebagai contoh, seseorang itu tidak akan berjaya menyamar sebagai polis, kerabat diraja atau pegawai agama sekiranya dia tidak mempunyai latar belakang atau pernah hidup dalam lingkungan sosial tersebut.
“Ini amat penting kerana menerusi latar belakang tersebut, penggunaan perkataan, tingkah laku atau perkataan tertentu dapat digunakan dengan baik dan sekali gus, mampu memperdayakan sesiapa sahaja,” jelas Azlan.
Berkongsi pengalaman ketika membuat kajian di sebuah pusat pemulihan akhlak, Azlan mendedahkan, antara ruangan yang paling gemar dibaca oleh pesalah juvana ialah mahkamah dan jenayah.
“Mereka belajar mengenai hukuman dan kesan jenayah. Malah pendedahan terhadap dunia luar terutama jenayah, mudah saja didapati menerusi Internet,” katanya. Tegasnya, tidak mustahil aktiviti menyamar mampu dilakukan dengan baik walaupun pada usia muda kerana medium belajar kemahiran tersebut ada di mana-mana.
Sumber: Kosmo

Psikologi Perspektif Islam

MAKNA umum psikologi adalah sikap dan proses mental yang berlaku dalam diri seseorang manusia. Sikap adalah perlakuan seseorang yang boleh dilihat oleh orang lain. Sementara proses mental adalah proses dalaman seperti kepercayaan, pemikiran, perasaan dan persepsi terlindung dari pandangan zahir.

Tetapi kajian psikologi kini hanya menggunakan pendekatan sekular Barat sekalipun telah lahir banyak psikologis kalangan Islam. Walaupun pendekatan sekular Barat telah dominan dan diterimapakai sejak lama dulu, kajian daripada sudut pandangan Islam telah terbukti melampaui Barat.

Ini ditandai dengan lahirnya buku Psychology From The Islamic Perspective yang ditulis oleh sarjana Islam, Dr. Aisha Utz, profesor psikologi klinikal, Universiti Sains Kesihatan King Saud bin Abdul Aziz, Arab Saudi. Edisi pertama dalam bahasa Arab dan kemudian diterjemah dalam versi bahasa Inggeris yang menyebarluaskan lagi kajian psikologi dari sudut pandangan Islam.

Pengarang berjaya memberikan huraian yang jelas secara saintifik dan juga merujuk kepada keajaiban-keajaiban yang diterangkan dalam al Quran berkaitan dengan alam jiwa setiap manusia.

Buku ini satu titik mula penting memperkenalkan satu kaedah baru psikologi dengan mengambil kira perkara-perkara yang bersifat metafizik dalam Islam. Ia menekankan antaranya hakikat kewujudan manusia terutama roh daripada sudut pandangan Islam yang tidak ada dalam definisi psikologi Barat.

Pengarang membentangkan perbandingan antara Barat dan Islam serta perbezaan antara kedua-duanya. Pengarang tidak menolak terus sudut pandangan Barat terhadap psikologi. Tetapi pada masa yang sama menekankan banyak kelompang dalam sudut pandangan Barat apabila mengabaikan hakikat kewujudan manusia dan roh mengikut konsep Islam.

Pengarang menghurai dan menghubungkait beberapa konsep dalam Islam yang mempunyai hubungan daripada sudut psikologi. Misalnya konsep fitrah, akidah, iman yang semuanya tidak wujud dalam psikologi moden Barat.

Buku psikologi yang mempunyai 18 bab ini memberikan hujahan secara terperinci mengenai psikologi daripada sudut pandangan Islam dengan mengambil kira konsep yang menjadi pegangan Islam. Tambahan pula beberapa tahun kebelakangan ini sudah terdapat ahli falsafah dan saintis Barat yang mengakui bahawa teori saintifik mereka tentang kejadian manusia adalah terhad. Mereka mengakui tidak mampu menghuraikan kompleksiti dan misteri kehidupan manusia yang tersembunyi dengan teori Barat.

Ini sebenarnya kelompang yang dimaksudkan pengarang terhadap pendekatan psikologi sekular Barat. Maka pendekatan psikologi Islam diperlukan untuk merungkai misteri dan kompleksiti yang tidak boleh dilakukan dengan pendekatan Barat. Buku seperti Psychology From The Islamic Perspective ini sebenarnya telah lama dinanti-nantikan kalangan psikologis Islam yang melihat banyak misteri tidak boleh dirungkaikan dengan pendekatan Barat.

Misalnya menerusi bab 13 pengarang menghuraikan konsep kewujudan syaitan, jin, dan manusia dalam Islam. Kepada psikologis bukan Islam tentunya ini satu pendekatan baru yang mempunyai hubungan dengan psikologi. Kewujudan syaitan dan jin daripada sudut pandangan Islam bukanlah satu proses mental pada definisi sudut pandangan Barat. Bab ini banyak menghuraikan bagaimana jin dan syaitan yang jahat sentiasa berusaha mempengaruhi manusia keluar dari landasan yang ditentukan oleh Islam. Semua ini tidak ada dalam psikologi pendekatan Barat.

Sementara bab 14 pula menghuraikan psikologi abnormal dan sakit mental. Pengarang memberi fokus kepada dua kelompok besar sakit mental iaitu rasa bimbang dan kesedihan melampau. Menurut pengarang, daripada sudut pandangan Islam perkara ini berlaku disebabkan oleh lemah semangat terhadap pengalaman pahit yang pernah dilalui. Pengarang menekankan semangat menjadi faktor utama berlakunya keadaan ini tanpa menafikan faktor-faktor lain yang juga turut mempengaruhi seseorang.

Menerusi buku ini ternyata banyak ilmu dalam al Quran yang belum diterokai oleh manusia untuk kebaikan manusia lain. Dalam bidang psikologi misalnya, sejak sekian lama dulu pendekatan Barat yang menjadi rujukan padahal dalam Islam sudah ada kunci yang boleh merungkaikan keajaiban misteri yang tidak ditemui oleh Barat. Dengan lahirnya buku ini, sarjana sekaligus psikologis Islam telah mengemukakan pendekatan yang sewajarnya dilangsungkan oleh sarjana Islam lain untuk memantapkan lagi ilmu psikologi daripada sudut pandangan Islam.

Ini juga sebagai bukti bahawa sejak dulu lagi Islam merintis ilmu dalam bidang sains dan matematik yang kemudiannya diteruskan oleh Barat. Usaha pengarang membuktikan pendekatan dan konsep dalam Islam mampu mengatasi lingkungan pencapaian saintifik Barat yang sangat terhad itu.

Sumber : Utusan Online _ 26/08/2012

Bidang-bidang Psikologi - 1

Bidang psikologi juga seperti bidang-bidang lain iaitu mempunyai pelbagai jenis skop atau bidang kepakaran yang boleh memberi manfaat kepada manusia.

Kebanyakan pengkhususan dalam bidang psikologi memerlukan kelayakan atau ijazah yang spesifik dalam bidang psikologi. Contohnya untuk menjadi seorang kaunselor, seseorang itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kaunseling. Berikut adalah sebahagian daripada jenis-jenis bidang psikologi yang utama.

PSIKOLOGI ABNORMAL

Psikologi abnormal merupakan bidang yang berkaitan dengan psikopatologi (kajian saintifik tentang penyakit mental) dan tingkah laku abnormal. Psikologi ini meliputi pelbagai jenis kecelaruan seperti kecelaruan perkembangan (peringkat bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa atau orang tua), kecelaruan perasaan, kecelaruan kebimbangan, kecelaruan personaliti, kecelaruan skizofrenia dan psikotik, kecelaruan tidur, kecelaruan pemakanan, dan kecelaruan seksual. Selain itu ialah untuk memahami setiap jenis kecelaruan yang wujud dari segi deskripsi, penilaian, dan rawatan.

PSIKOLOGI KLINIKAL

Psikologi klinikal merupakan salah satu skop yang sangat penting dalam bidang psikologi. Psikologi klinikal merawat sakit jiwa, kecelaruan mental, dan pelbagai jenis tingkah laku abnormal. Pakar-pakar psikologi klinikal biasanya mendiagnosis serta merawat klien-klien mereka dengan menggunakan kaedah-kaedah psikologi. Selain itu, mereka juga melakukan penyelidikan yang boleh memberi manfaat kepada manusia. Mereka melakukan penilaian tingkah laku dan personaliti manusia melalui alat-alat penilaian tertentu seperti alat TAT (Thematic Apperception Test), Rorschach, Bender Gestalt, CPI, dan lain-lain.

PSIKOLOGI KOGNITIF

Psikologi kognitif merupakan bidang psikologi yang mengkaji tentang proses-proses mental dan pemikiran manusia. Psikologi ini merangkumi perkara yang berkaitan memori, persepsi, membuat keputusan, menyelesaikan masalah, pembelajaran, dan bagaimana kita berfikir. Sebagai sebahagian besar daripada bidang sains kognitif, psikologi ini dapat dikaitkan dengan disiplin lain seperti neurosains, falsafah, dan linguistik.

PSIKOLOGI PERKEMBANGAN

Bidang psikologi ini melihat kepada perkembangan manusia sepanjang hayat, iaitu bermula dari zaman kanak-kanak sehingga zaman dewasa. Kajian saintifik tentang perkembangan manusia adalah bertujuan untuk memahami dan menerangkan bagaimana dan kenapa manusia berubah sepanjang kehidupannya. Hal ini merangkumi segala aspek perkembangan manusia termasuk fizikal, emosi, intelek, sosial, persepsi, dan personaliti.

Gangguan Psikologi Ancam Pengguna

Di sebalik ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), anak muda dilihat sebagai golongan nombor satu dan paling ramai yang selari dengan perkembangan itu. Hari ini, generasi X, Y dan Z dikaitkan sebagai penentu digital pada masa depan. Mereka mempunyai keupayaan pandangan yang amat berbeza berbanding generasi lampau kerana lahir ketika era Perang Dingin, ledakan teknologi maklumat dan dunia tanpa sempadan.

Seorang tokoh, Don Tapscott dalam bukunya Grown Up Digital meneliti latar belakang generasi X, Y dan Z yang mempunyai asas latar yang tersendiri. Generasi X lahir antara 1965 hingga 1976, Generasi Y lahir antara 1977 hingga 1997, manakala Generasi Z lahir selepas 1998. Mereka mempunyai citra tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Bagaimanapun, mereka disatukan dengan suatu ledakan iaitu ICT. Merekalah yang banyak mempunyai jaringan Internet, kenalan di Facebook dan Twitter.

Laman sosial sepatutnya memberi kelebihan kepada generasi X, Y dan Z itu untuk berjaya dalam kehidupan melalui ruang diberikan. Bagaimanapun, lain jadinya apabila ia dijadikan pula platform untuk memaklumkan kematian masing-masing. Terdapat kes yang mana remaja lelaki maut selepas terjun dari bangunan 14 tingkat, di Kuala Lumpur tidak lama dulu, dipercayai membunuh diri akibat dikecewakan teman wanitanya.

Paling menggemparkan, sebelum beliau membuat keputusan bunuh diri terbabit, sempat bertanya di ‘Wall’ (aplikasi papan notis) beberapa jam sebelum itu sama ada tindakan terjun bangunan yang dilakukan beliau wajar atau tidak diteruskan. Malah, beberapa rakannya menganggap ia cuma gurauan dan tidak serius sebaliknya benar-benar berlaku apabila beliau mula memaparkan nota terakhir beliau sebelum membunuh diri. Satu nota mengatakan beliau hanya mempunyai 45 minit lagi untuk hidup dan bertanyakan apa yang perlu dilakukan dalam tempoh terbabit.

Beberapa rakan rapat yang memandang serius ancaman terbabit dan terkejut dengan keputusan beliau untuk membunuh diri cuba untuk menenangkan beliau melalui komen beberapa minit sebelum kejadian berlaku. Lebih malang, nota terbabit adalah mesej terakhir sebelum beliau membunuh diri tanpa sempat rakannya tiba untuk menenangkannya.

Bunuh diri dan memaklumkannya dalam Facebook bukan fenomena yang biasa didengar melainkan mereka diancam pembuli siber. Buli siber yang didefinisikan sebagai sebarang bentuk ancaman dan serangan melalui pesanan teks, gambar menerusi e-mel, blog, telefon bimbit serta rangkaian web bagi mengganggu, memalukan dan mengugut, sebenarnya bukan satu perkara baru dalam erti kata sebenar. Berbanding di negara maju, yang kebanyakan pembuli siber terdiri daripada golongan wanita, di Malaysia golongan lelaki berusia antara 15 hingga 35 tahun dilihat lebih berani untuk melakukan kegiatan itu.

Mengapa seseorang itu boleh menjadi pembuli siber? Berdasarkan kajian seorang pakar, Barbara Coloroso mendapati, pembuli siber mempunyai persamaan dalam sikap mereka seperti suka mendominasi orang lain, menggunakan orang lain untuk kepentingan diri, enggan bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka dan gilakan perhatian.

Di negara maju, masalah buli siber sudah dianggap berada pada tahap serius. Di Amerika Syarikat, laporan berita CBS mendakwa hampir 40 peratus pelajar di negara itu mendakwa pernah menjadi mangsa buli siber sehingga ada yang sanggup membunuh diri kerana tidak tahan dengan hinaan dan fitnah yang disebarkan rakan sekolah menerusi e-mel, laman web dan Facebook. Masalah yang sama turut dirasai Britain sehingga memaksa kerajaan negara itu untuk mengenakan denda sehingga STG1,000 (RM5,000) ke atas ibu bapa ‘pembuli siber’ atau pelajar yang terbabit membuat ancaman kepada rakan menerusi Facebook, telefon bimbit, e-mel dan SMS.

Pembulian seperti ini boleh dianggap seperti ‘membaling batu, sorok tangan’, tidak jelas dilakukan dan sukar untuk dibuktikan. Tidak hairanlah sehingga ke hari ini, masih tiada seorang pun yang didakwa atas kesalahan sebagai pembuli siber.

Mengikut Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia, pembuli siber boleh dikenakan tindakan mengikut seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 98) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali. Bunuh diri akibat Facebook mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat yang terdedah kepada tindakan digital sehingga berupaya mengganggu emosi selepas membaca entri membabitkan kejadian terbabit.

Menurut pensyarah psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Osman Che Bakar, bunuh diri dan memaklumkannya di Facebook berkait rapat dengan tekanan yang dialami individu. “Tekanan ini boleh mengakibatkan penyakit mental disebabkan pelbagai sebab yang berhubung kait antara satu sama lain seperti ketidakseimbangan fungsi otak. Jika anda tidak pandai menangani masalah dan anda berhadapan dengan masalah, penyakit ini akan menyerang,” katanya.

Beliau menjelaskan tekanan yang dihadapi akan menyebabkan otak berfungsi lebih daripada biasa kerana anda memikirkan masalah terbabit dan cuba menyelesaikannya. “Otak berfungsi dengan bantuan neurotransmiter yang menghantar isyarat untuk berfikir. Penyakit mental berlaku apabila tekanan berlebihan menyebabkan ketidakseimbangan neurotransmiter ini,” tambahnya.

Katanya, jika individu itu menghantar entri memaklumkan mengenai niatnya untuk membunuh diri, ia mahu menarik perhatian pihak yang berkait rapat mengganggu perhatiannya. “Jika mahu membunuh diri, kebiasaannya akan menulis nota yang hanya didapati selepas kejadian berlaku,” kata Osman.

Beliau berkata, jika individu itu membuat pos di Facebook, besar kemungkinan dia akan diselamatkan sebelum sempat membunuh diri. “Kita perlu mengkaji sebab individu membuat pos di Wall Facebook, mungkin ia mahu membalas dendam terhadap mereka yang menyakitinya,” katanya.

Osman berkata, tindakan memaklumkan kejadian bunuh diri di Facebook berikutan mahu memberi malu kepada individu tertentu akibat perasaan marah ditinggalkan, diabaikan dan sebagainya yang memberi kesan negatif.

Manakala menurut blog pensyarah psikiatri, Dr Salmi Razali, terdapat dua bahagian otak yang penting dalam mengawal tingkah laku manusia iaitu sistem limbic untuk mengawal emosi, tingkah laku, perbuatan, perasaan seperti marah, benci, cinta, geram dan lain-lain. Prefrontal cortex untuk mengawal fungsi kognitif kita seperti membuat perancangan, mengatur kehidupan, kawalan buruk baik perbuatan, mengawal proses perbuatan dan lain-lain.

Pada keadaan biasa, bahagian otak ini berfungsi secara baik. Contohnya, anda rasa sayang pada anak anda, sistem limbic akan berfungsi, jika anda ingin memasak, prefrontal cortex akan mengawasi susun atur kaedah masak yang betul.

“Bila anda mempunyai tekanan bahagian otak ini terlalu aktif sehingga neurotransmiter serotonin, dopamine dan adrenalin tadi tidak berfungsi dengan baik. Tanda-tanda penyakit akan muncul kerana otak tidak berfungsi dengan baik,” kata Dr Salmi.

Di sebalik kemajuan teknologi dan keghairahan laman sosial, ia sedikit sebanyak mempengaruhi aktiviti seharian sehinggalah individu yang mengalami gangguan mental juga mahu mendapat perhatian di dunia digital. Sekurang-kurangnya seorang daripada lima rakyat negara ini berisiko gila jika mengalami masalah kesihatan mental dan tidak mendapatkan rawatan dengan segera serta teratur.

Ramalan itu berasas jika mengambil kira hasil Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ke-3 yang menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia menderita masalah kesihatan mental. Lebih membimbangkan, masalah gangguan fikiran dijangka tersenarai di tangga kedua penyakit utama dunia selepas penyakit jantung koronari menjelang 2020. Kajian beban penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan empat penyebab utama masalah kesihatan mental ialah kemurungan, kegelisahan, sukar tidur serta bunuh diri.

Berbalik semula kepada generasi X, Y dan Z ini, merekalah pengguna Internet yang cenderung mengepos pelbagai komen, entri, kemas kini dan sebagainya dalam dunia digital tanpa sempadan. Memaklumkan kematian dalam Facebook bukan isu main-main walaupun sehingga kini mungkin hanya terdapat satu kes saja yang berlaku.

Ia boleh dikeruhkan dengan gangguan buli siber yang berleluasa sehingga mengakibatkan moral individu jatuh mendadak dan mengambil pertimbangan salah di kemudian hari. Eloklah jika pos di Wall atau komen yang memberi nilai positif dalam kehidupan serta memberi manfaat kepada individu lain.

Terdapat kumpulan di United Kingdom (UK) yang melancarkan kumpulan sokongan di Facebook untuk membolehkan 30 juta pengguna laman sosial itu di sana mendapatkan bantuan hanya melalui Wall atau Notes. Individu yang mengambil berat mengenai rakan mereka yang berpotensi membunuh diri boleh menghubungi Pusat Pertolongan Facebook di www.facebook.com/help. Mereka boleh memaklumkan kandungan tertentu seperti kemas kini dan pos Wall sebelum Facebook menghubungi individu yang mampu membantu mengawal emosi individu terbabit.

Kumpulan yang dikenali pertubuhan Samaritans itu membantu menyelesaikan masalah tekanan yang dihadapi hanya melalui laman sosial. Ketua Eksekutifnya, Catherine Johnstone, berkata populariti Facebook memainkan peranan yang penting membantu masyarakat mendapatkan bantuan.

“Anda tahu rakan anda mengalami masalah dan cuba membunuh diri, tiada tempat lain yang boleh dituju, oleh itu lebih baik dapatkan bantuan segera di Facebook kerana ramai rakan kami berada di sana (Facebook) untuk membantu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Polisi Facebook Eropah, Richard Allan, berkata bantuan Samaritans membuktikan Facebook berupaya menjadi platform efektif yang digunakan dalam usaha memberi kemudahan secara psikologi kepada penggunaannya.

Sumber: Harian Metro _ 6 April 2011